Wawasan 2020 (BM)

Latarbelakang

Semasa pelancaran Majlis Perdagangan Malaysia pada 28 Februari 1991, Y.A.B. Perdana Menteri telah membentangkan satu kertas kerja bertajuk “Malaysia-Melangkah ke Hadapan” yang mengandungi satu pemikiran dan rangka kerja mengenai matlamat Malaysia menjadi sebuah negara maju pada tahun 2020. Ianya dikenali sebagai “Wawasan 2020”.

Wawasan 2020 bukanlah merupakan satu dasar khas tetapi merupakan tindak balas kepada perkembangan ekonomi, sosial dan politik yang berlaku di peringkat nasional dan antarabangsa yang telah memberi cabaran hebat kepada negara. Wawasan ini telah diketengahkan sebagai satu garis panduan dan rangka kerja mengenai pendekatan yang harus diambil dalam memulakan langkah bagi perjalanan jauh yang akan ditempuh oleh negara.

Matlamat terakhir yang dicita-citakan ialah pembentukan sebuah negara Malaysia yang benar-benar maju menjelang tahun 2020. Kemajuan yang dimaksudkan bukan terhad kepada bidang ekonomi sahaja malah ia akan merangkumi segala aspek kehidupan: ekonomi, politik, sosial, kerohanian, kejiwaan dan kebudayaan.

Menjelang tahun 2020, Malaysia sebagai sebuah negara merdeka akan menjadi negara yang benar-benar maju, bersatu, mampu berdikari, progresif dan makmur. Rakyat akan menikmati kehidupan yang sempurna dalam satu masyarakat yang demokratik, bertoleransi, bermoral, adil, mampu bersaing, dinamik dan mempunyai daya ketahanan yang tinggi.

Ini bermakna Wawasan 2020 bertujuan mewujudkan negara bermatlamat iaitu Malaysia akan menjadi negara maju dengan caranya tersendiri tanpa terikut kepada cara dan corak negara maju yang ada sekarang. Kemajuan yang dicita-citakan ialah kemajuan yang sempurna yang tidak semata-mata diukur dari segi pencapaian lahiriah atau fizikal semata-mata malah ia akan meliputi pewujudan satu masyarakat yang sempurna dengan nilai moral dan etika yang tinggi dan boleh dicontohi oleh negara-negara lain.

Published by

bumno

We want a diverse, mature, intellectual MALAYSIAN society for all of us. Against bigotry & zealotry. #wawasan2020 #BetterMalaysia

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *